Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

30 June 2008

Syarat standard Program Matrikulasi diwartakan

Oleh Syuhada Choo Abdullah

Usaha pastikan lulusan nikmati skema gaji setaraf lepasan STPM

BAHAGIAN Matrikulasi Kementerian Pelajaran menjalani proses pewartaan Peraturan Program Matrikulasi yang antara lain bertujuan mendapatkan pengiktirafan skema gaji yang setara kepada lulusannya dengan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Zainal Abidin berkata, inisiatif pewartaan itu juga bertujuan melaksanakan Program Matrikulasi yang standard di semua kolej yang dikendalikan Kementerian Pelajaran.

Selain itu, katanya, peraturan itu juga akan menjadi garis panduan dalam tindakan apabila berlaku salah laku dan percanggahan serta bagi mengelak pelbagai tafsiran berhubung pelaksanaan program berkenaan.

Beliau berkata, pelaksanaan langkah terbabit dalam proses pewartaan bermula tahun lalu dan kini sudah mencapai peringkat pertengahan.

Berdasarkan panduan langkah yang perlu diambil dalam proses mewartakannya, beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dan pembentangan draf pada peringkat Bahagian Matrikulasi.

Katanya, ini diikuti proses mengemaskini draf pada peringkat bahagian dalam versi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, sebelum dibawa kepada penasihat undang-undang Kementerian Pelajaran untuk pembetulan.

Seterusnya, beliau berkata, draf itu dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pewartaan Akta dan Peraturan Pendidikan yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD).

“Langkah seterusnya ialah kertas cadangan Peraturan Program Matrikulasi pula akan dibawa ke mesyuarat profesional kementerian untuk pengesahan.

“Selepas itu, kertas cadangan Peraturan Program Matrikulasi dibawa ke mesyuarat pengurusan kementerian untuk pengesahan sebelum ke pejabat Peguam Negara untuk diwartakan.

“Ini disusuli dengan memohon tandatangan Menteri Pelajaran, sebelum draf peraturan dicetak pejabat Peguam Negara untuk edaran,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya.

Sementara itu, beliau berkata, majlis meraikan sambutan 10 tahun Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran akan diadakan di Kolej Matrikulasi Melaka, hari ini.

“Faktor pemilihan Kolej Matrikulasi Melaka sebagai tuan rumah sambutan julung kali ini ialah ia adalah yang pertama ditubuhkan pada 1999,” katanya.

Sambil menjelaskan sambutan terbabit bertema `Keunggulan Satu Dekad Memacu Kecemerlangan’, Zainal Abidin berkata, satu majlis khas akan diadakan dengan turut menjemput Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang bertindak sebagai pengasas Program Matrikulasi berkenaan selaku Menteri Pendidikan ketika itu.

Selain itu, katanya, mantan pegawai kementerian yang pernah terbabit dalam pelaksanaan program itu akan turut dijemput, di samping memberi penghargaan kepada kakitangan yang berkhidmat dalam Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran sejak awal pelaksanaan hingga kini.


Sumber: Berita Harian 28 Jun 2008

03:33 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)