Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

03 May 2007

Pelajar Matrikulasi cemerlang dalam MUET

(lebih 85 peratus catat keputusan Band 3 ke atas Tahun lalu)

Oleh Syuhada Choo Abdullah
PERATUSAN pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran lulus Band 3 ke atas dalam Malaysia University English Test (Muet), mengatasi semua jenis calon lain selama empat tahun berturut-turut sejak 2003.
Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata perbandingan itu berdasarkan analists Majlis Peperiksaan Malaysia terhadap keputusan Muet pertengahan dan akhir tahun dalam tempoh berkenaan.
Malah, katanya, pencapaian pelajar yang sudah mengikuti Program Matrikulasi selama setahun sebelum menduduki Muet pertengahan tahun, amat memberangsangkan dengan lebih 85 peratus mencapai Band 3 ke atas.
Beliau berkata, keputusan itu dicatat 97.77 peratus calon matrikulasi pada 2003, 2004 (92.03 peratus), 2005 (89.90 peratus) dan 2006 (88.02 peratus).
"Ini berbanding calon sekolah swasta (dalam urutan tahun sama) kira-kira 37 peratus, 45 peratus dan 32 peratus selama dua tahun, sekolah kerajaan (46 peratus, 51 peratus, 40 peratus dan 36 peratus).
"Persendirian (58 peratus, 68 peratus, 58 peratus dan 51 peratus), diploma (60 peratus, 57 peratus, 46 peratus dan 38 peratus) serta ijazah (57 peratus, 73 peratus, 61 peratus dan 51 peratus).
"Perbezaan peratusan ketara ini secara langsung membuktikan kejayaan serta keberkesanan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Berdasarkan ketetapan tahap digariskan dalam Muet, Band 6 dihuraikan sebagai 'Pengguna Amat Baik', Band 5 (Pengguna Baik), Band 4 (Pengguna Kompeten), Band 3 (Pengguna Sederhana), Band 2 (Pengguna Terhad) dan Band 1 (Pengguna Amat Terhad).
Zainal Abidin berkata, prestasi membanggakan itu turut dicapai pelajar menduduki Muet akhir tahun selepas mengikuti Program Matrikulasi selama enam bulan.
Katanya, 86.92 peratus calon matrikulasi lulus Band 3 ke atas pada 2003, 2004 (85.68 peratus) dan 2005 (83.13 peratus) berbanding (dalam urutan tahun sama) sekolah swasta (26.04 peratus, 22.59 peratus dan 20.29 peratus).
Sekolah kerajaan (49.92 peratus, 44.03 peratus dan 39.73 peratus), persendirian (63.81 peratus, 63.12 peratus, 56.03 peratus), diploma (69.17 peratus, 65.56 peratus dan 55.35 peratus), manakala ijazah (69.60 peratus, 78.32 peratus dan 60.18 peratus).
"Sejak PPSMI dilaksanakan dalam Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran pada 2004, proses pengajaran dan pembelajaran Matematik, Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Informatik menggunakan bahasa Inggeris 100 peratus.
"Justeru dalam peperiksaan akhir semester 2005/2006, hampir 90 peratus pelajar menjawab kertas Matematik menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya walaupun diberi pilihan dwibahasa. Ini diikuti Kimia (80 peratus) dan masing-masing 70 peratus Biologi serta Fizik.
"Pendedahan positif ini dan juga suasana persekitaran kondusif seperti Zon Bahasa Inggeris serta pemasangan pelbagai quotation bahasa Inggeris di laluan pelajar, menyumbang kepada pemantapan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran.
"Selain itu, pelajar agak lemah pula dibantu pensyarah melalui program mentor-mentee yang dimulakan seawal minggu pendaftaran," katanya.

Sumber: Berita Harian 19 April 2007

05:26 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink