Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

04 November 2008

Pengekalan program matrikulasi di IPTA tak wajar dipertikai

HAKIKAT bahawa program matrikulasi mampu merapatkan jurang antara pelajar Bumiputera dengan bukan Bumiputera di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), terutama dalam bidang kritikal seharusnya diterima oleh semua pihak. Justeru, usaha mengekalkan program itu yang dilaksanakan di universiti sejak 1970-an sebelum diambil alih Kementerian Pelajaran pada 1998 adalah wajar dan tidak harus dipertikaikan. Malah, kerajaan perlu terus memantau dan memastikan program itu berada pada tahap terbaik, dari segi pengurusan dan kurikulumnya supaya sentiasa relevan bagi memenuhi keperluan semasa. Pewujudan Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan secara berpusat bagi menggantikan program matrikulasi yang dikendalikan universiti tempatan, ternyata memberi impak dan perubahan amat ketara dalam sistem pendidikan negara.

Setiap tahun, seramai 24,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang mengikuti program pengajian prauniversiti itu di sembilan Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran dan dua lagi Kolej Matrikulasi Mara. Kira-kira 85 peratus pelajar mengikuti jurusan sains dan selebihnya perakaunan. Daripada jumlah calon yang diambil, 22,000 pelajar mengikuti pengajian setahun dan selebihnya dua tahun, berdasarkan merit keputusan SPM mereka. Bagaimanapun, pelajar yang mengikuti pengajian dua tahun didedahkan kepada pengukuhan akademik dan pembangunan potensi mereka sebagai persediaan mengikuti pengajian lebih intensif pada tahun kedua. Hakikatnya, kerajaan tidak mengetepikan peluang pelajar bukan Bumiputera memasuki kolej itu kerana 10 peratus tempat dikhaskan untuk mereka.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis Matrikulasi Bersama Masyarakat Peringkat Kebangsaan Kali Ketiga dan sempena pelancaran sambutan satu dekad program matrikulasi Kementerian Pelajaran, di Pekan, kelmarin, kemasukan pelajar dalam program matrikulasi yang menggunakan kaedah meritokrasi mampu menambah bilangan siswazah Bumiputera dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi, kejuruteraan, seni bina, perakaunan dan pengurusan. Sebelum program itu diperkenalkan, ramai pelajar Bumiputera yang cemerlang pada peringkat SPM tersekat pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang lulusannya didominasi pelajar bukan Bumiputera. Program itu bukan saja menyelamatkan pelajar Bumiputera yang pintar, malah ia sejajar dengan usaha kerajaan menambah bilangan graduan Bumiputera dalam bidang profesional. Kita mahu kemudahan di kolej matrikulasi perlu sentiasa ditingkatkan, manakala tenaga pengajarnya diberi latihan profesional berterusan supaya berkemahiran tinggi dalam ilmu pengetahuan dan pedagogi. Kita tidak mahu pelajar Bumiputera lepasan kolej matrikulasi yang mengikuti pengajian kritikal di IPTA gagal bersaing dengan pelajar bukan Bumiputera. Usaha berterusan perlu dibuat untuk menyediakan pelajar Bumiputera berilmu pengetahuan dan berketrampilan serta mempunyai ciri kualiti diri yang terpuji dan daya kepemimpinan yang tinggi.


Sumber: Berita Harian 3.11.2008

01:11 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)