10 October 2007
Limpahkanlah Kasih Sayang
DALAM sehari semalam kita kerap menyebut perkataan 'Bismillah'. Semua di antara kita sudah tahu apa maknanya, iaitu 'Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang'.
Begitulah makna ayat al-Quran yang paling popular. Begitulah juga hebatnya Allah mengasihi makhluk yang dicipta-Nya.
Malah, golongan yang mengingkari-Nya pun masih dibenarkan tinggal di bumi-Nya. Mereka yang derhaka kepada-Nya pun masih diberi kesempatan menghirup udara-Nya, bahkan kadangkala rezeki makin bertambah.
Walaupun begitu, sudah banyak kita mendapat nikmat daripada-Nya tetapi jarang memberikan waktu untuk menghitungnya jauh sekali untuk membalasnya.
Setiap hari rasanya kita tidak terlepas meluangkan masa untuk mengambil sarapan kerana menganggap ia sangat penting.
Tetapi kenapa kita tidak sempat menggunakan beberapa minit untuk bersama memikirkan sifat ar-Rahman dan ar-Rahim Allah, sebagai vitamin sebelum bekerja atau menunaikan tugas harian?
Cuba tanya hati sanubari kita, apakah nikmat yang sudah kita dapat sepanjang hari semalam?
Kita boleh tidur dengan nyenyak, rumah kita selamat daripada pencuri, anak ceria, kita sendiri bahagia dan sebagainya. Tetapi pernahkah kita rasakan itu adalah rahmat Allah atau dalam kata lain pernahkah kita bersyukur?
Itulah tandanya kasih sayang Allah dan selepas kita mendapat kasih sayang Allah pernahkah kita tebar dan sebarkan itu semua kepada makhluk Allah yang lain?
Sudahkah kita sayangi ibu bapa kita sebagaimana kasih sayang yang kita dapat daripada Allah itu? Kepada anak kita, teman dan rakan sejiran, teman dan rakan sepejabat kita, bagaimana?
Sebenarnya antara tugas kita di bumi ini untuk berkasih sayang tanpa memandang ras, warna kulit, bangsa dan agama, parti politik bahkan juga kepada binatang, tumbuhan dan alam sekitar.
Dalam satu hadis Rasulullah pernah bersabda yang maksudnya: "Orang yang bersifat pengasih akan dikasihi Allah Yang Maha Pengasih. Hendaklah kamu mengasihi makhluk di bumi, nanti kamu akan dikasihi penduduk langit."
Kepada mereka yang derhaka kita patut melihat dengan penuh kasihan belas sebab kesalahannya adalah kesusahan baginya.
Mereka perlu didekati untuk ditegur dengan baik bukannya kasar supaya penderhaka itu diselamatkan daripada murka Allah.
Golongan yang pengasih bersifat seperti di bawah ini:
• Di mana ada benci, biar kita yang membalas dengan sayang.
• Di mana ada hati yang terluka, di situ kita yang menjadi penghiburnya.
• Di mana ada keraguan, di situ kita yang meyakinkan.
• Di mana ada putus asa, di situ kita menebarkan harapan.
• Di mana ada kesedihan, di situ kitalah yang berkongsi bahagia.
• Di mana ada kegelapan, di situlah kita yang membawa cahaya.
Selagi kita mahu membantu dan mengasihi kita, selagi itu kita mendapat 'geran' kekayaan daripada Allah yang Maha Mengasihi.
17:06 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)