09 October 2007
Pedang intelektual lebih hebat daripada senjata canggih.
DI kalangan masyarakat bukan Islam, soalan yang lazim dikemukakan ialah adakah Islam di peringkat dakwahnya disebarkan dengan kekerasan atau lebih disifatkan dengan menggunakan mata pedang?
Pandangan sebegini timbul berdasarkan pembacaan bahan-bahan orientalis klasik dan moden, yang menyusup masuk ke dalam penerbitan-penerbitan ilmiah yang mudah di dapati di kedai-kedai buku di sekitar negara.
Tanpa kefahaman asas yang tepat serta kekeliruan yang mempengaruhi pemikiran pembaca, dakwaan palsu ini dianggap satu fakta sejarah yang benar dan tidak boleh disanggah.
Tambahan, situasi dunia hari ini yang bergolak dan berhadapan dengan keganasan bersifat global, menjadikan Islam sasaran terbaik untuk dipersalahkan.
Konsep jihad yang sinonim dengan ajaran Islam, dianggap sebagai moto atau laungan semangat umat Islam untuk melancarkan keganasan ke atas orang lain.
Mengapa kekeliruan ini berlaku? Adakah kerana kita tidak berusaha menyampaikan mesej sebenar jihad kepada dunia, menjadikan istilah itu bersifat kekejaman atau kezaliman?
Islam bersandarkan kepada satu pengertian yang indah, iaitu selamat, damai dan sejahtera.
Ia juga membawa maksud menyerahkan diri kepada Allah s.w.t selaku Pencipta dan Pemelihara seluruh alam.
Oleh yang demikian, Islam boleh disifatkan sebagai agama kedamaian.
Realiti dunia hari ini membuktikan tidak semua manusia inginkan keamanan dan keharmonian.
Wujud individu mahupun sebuah kuasa besar yang menggunakan segala mekanisme yang ada untuk menimbulkan kekacauan bagi memenuhi agenda mereka tersendiri.
Tidak dapat dinafikan, kadangkala kekerasan perlu untuk mengekalkan keamanan
Namun kekerasan yang melampau sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa mereka yang tidak bersalah dan kemusnahan harta benda secara besar-besaran dilarang sama sekali dalam ajaran Islam.
Islam menggalakkan keamanan dan kedamaian. Dalam masa yang sama Islam menyeru para pengikutnya mempertahankan kedudukan agama dan nyawa sekiranya dicerobohi atau ditindas.
Atas dasar ini, kadangkala kekerasan boleh menjadi alat agar tidak terus dizalimi tetapi ia menjadi alternatif terakhir untuk mengembalikan keadilan dan keamanan selepas tiada kata sepakat antara dua pihak.
Dalam menjawab tuduhan orientalis serta mengungkai kekeliruan bahawa Islam disebarkan dengan kekerasan, sejarawan De Lacy O Lary menyatakan ``Sejarah jelas membuktikan dongengan yang mengatakan Fanatik Islam menyebarkan agama dengan mata pedang dihunus ke atas bangsa-bangsa lain, adalah satu dongengan yang memalukan para sejarawan yang mengulangi kisah karut-marut ini.'' (Buku Islam At The Cross Road, muka surat 8).
Pandangan beliau bersandarkan asas fakta sejarah Islam yang kukuh, di mana Islam telah memerintah Sepanyol selama 800 tahun dengan kebebasan agama diberikan kepada penganut-penganut agama Kristian ketika itu.
Satu tempoh yang cukup lama membuktikan toleransi pemerintah Islam dan keadilan serta tanggungjawab melindungi rakyat di bawahnya tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan.
Dibandingkan selepas kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol kesan dari Perang Salib, azan yang menjadi salah satu simbol Islam tidak kedengaran di bumi Sepanyol.
Di Arab Saudi, selama 1400 tahun, Islam menjadi agama rasmi dan diperintah oleh seorang Muslim.
Namun begitu, di tanah Arab ini, masih wujud 14 juta Christian Coptic iaitu penganut Kristian yang mewarisinya melalui keturunan.
Namun, sehingga hari ini kewujudan mereka di sana masih dapat dilihat.
Dengan mengandaikan Islam disebarkan melalui keganasan, sudah tentu tidak ada seorang Arab yang akan kekal menganuti ajaran Kristian yang diwarisinya.
Para Orientalis tidak akan mampu memberi jawapan, dari manakah tentera-tentera Islam yang datang menjajah serta menakluk gugusan kepulauan Melayu, khususnya Malaysia dan Indonesia sehingga mempunyai populasi penganut Islam terbanyak di dunia.
Islam jelas meletakkan satu sempadan ke atas para pengikutnya, bahawa tidak ada paksaan dalam beragama :
``Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).
``Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut dan dia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.'' (Al Baqarah: 256).
Kejayaan Islam menawan jutaan hati manusia yang ikhlas dan inginkan ketenangan spiritual, lahir daripada pedang intelektual yang mampu menembusi akal yang rasional dan jiwa bersih yang fitrahnya sentiasa mencari Tuhan.
Kesannya lebih hebat daripada penggunaan ketenteraan mahupun persenjataan dunia yang semakin canggih.
Firman Allah di dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:
``Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
Almanak Readers Digest 1986 memberikan statistik peningkatan jumlah penganut Islam dari tahun 1934 sehingga 1984 adalah sebanyak 235 peratus, satu peningkatan melebihi 100 peratus.
Artikel yang sama turut muncul di majalah The Plain Truth. Timbul pertanyaan, peperangan manakah yang mengambil tempat sehingga berjuta-juta manusia memilih Islam?
Di Amerika dan Eropah, Islam menjadi pilihan utama. Meskipun dilabel sebagai agama pengganas sebagaimana digambarkan oleh Pat Robertson dan Jerry Falwell, namun Islam masih mendahului.
Kata-kata Dr Joseph Anderson memberi gambaran kehebatan Islam yang penuh kekuatan halimunan yang sukar dikesan oleh musuh-musuh, kekuatan intelektual:
``Mereka yang bimbang pada suatu hari nanti kekuatan senjata nuklear ke atas tangan negara-negara Arab, gagal menyedari bom Islam telah digugurkan ke bumi, sejak kelahiran Muhammad.''
18:04 Posted in PENGISIAN | Permalink | Comments (0)