Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

06 August 2006

Program matrikulasi baru diperkenal tahun depan

BAHAGIAN Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, akan memperkenalkan program matrikulasi baru bagi membolehkan lebih ramai lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melepasi merit ditetapkan mengikutinya, mulai tahun depan.
Bagaimanapun, Pengarahnya, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata program matrikulasi asas sebagai tambahan yang sedia ada itu dilaksanakan dua tahun berbanding sekarang setahun.
Katanya, langkah itu bertujuan menyediakan peluang lebih luas kepada pelajar berkelayakan mengikuti program berkenaan kerana tempat ditawarkan matrikulasi setahun terhad.
"Selain itu, ia bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk memastikan lulusan SPM berpeluang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi.
"Setiap tahun, Bahagian Matrikulasi menerima kira-kira 100,000 permohonan dan daripada jumlah itu, kira-kira 25,000 yang mendapat tempat.
"Kebanyakan pemohon mempunyai kelayakan melepasi merit tetapi kerana persaingan tinggi, mereka tidak terpilih," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.
Bagi program perintis tahun depan, Dr Zainal Abidin berkata, kementerian merancang mengambil kira-kira 5,000 lulusan SPM berkelayakan dan melepasi merit ditetapkan mengikutinya.
Mengenai konsep pengajiannya pula, beliau berkata, pelajar akan didedahkan program asas dan mereka dinilai setiap semester, pada tahun pertama.
"Setelah penilaian tahun pertama, barulah pelajar ditentukan pengkhususannya. Untuk tahun kedua, mereka akan bergabung dengan pelajar sesi baru program matrikulasi setahun.
"Pengambilan pelajar memasuki matrikulasi asas ini masih berdasarkan syarat sedia ada, iaitu cemerlang Matematik Tambahan dan Matematik, dua subjek Sains serta mencapai merit ditetapkan," katanya.
Peningkatan jumlah pengambilan pelajar pada masa depan bergantung kepada kejayaan program perintis itu.
Mengenai kemasukan tahun ini, Dr Zainal Abidin berkata, sejumlah 28,000 tempat di 12 pusat matrikulasi seluruh negara ditawarkan.
Sehingga tarikh akhir pendaftaran 30 Mei lalu, seramai 23,300 pelajar mendaftar di sembilan kolej matrikulasi, dua kolej Mara dan Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (UM), membabitkan 20,037 aliran sains dan 3,263 lagi perakaunan.

Rujukan: Berita Harian

13:29 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink