20 May 2006
Program Matrikulasi 2 Tahun Untuk 5,000 Pelajar Sains
Program matrikulasi 2 tahun untuk 5,000 pelajar sains
Oleh Syuhada Choo Abdullah
BAHAGIAN Matrikulasi, Kementerian Pelajaran, akan memulakan pelaksanaan projek rintis program dua tahun dengan memperuntukkan 3,000 hingga 5,000 tempat bagi pengambilan sulung, tahun ini.
Pengarahnya, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata bilangan itu meliputi hampir 20 peratus daripada kira-kira 27,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2005 yang akan ditawarkan memasuki Program Matrikulasi kementerian.
Bagaimanapun, beliau berkata, kemasukan ke program dua tahun itu hanya akan ditawarkan kepada calon dalam jurusan sains dengan menggunakan syarat kelayakan sedia ada.
Katanya, calon berjaya dipilih dalam kalangan pemohon secara keseluruhan yang akan ditawar kemasukan, sama ada untuk mengikuti pengajian matrikulasi setahun atau program dua tahun, berdasarkan merit keputusan SPM mereka.
“Dalam konteks ini, calon yang ditawarkan memasuki pengajian matrikulasi setahun, boleh memilih untuk mengikuti program dua tahun.
“Namun, calon yang mendapat tawaran memasuki program dua tahun pula tidak dibenarkan bertukar kepada pengajian matrikulasi setahun,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, semalam.
Melalui pelaksanaan baru itu, Zainal Abidin berkata, pengajian tahun pertama akan tertumpu kepada usaha pengukuhan penguasaan akademik dan pembangunan potensi pelajar.
Beliau berkata, penekanan itu adalah persediaan untuk pelajar terbabit mengikuti pengajian matrikulasi yang intensif pada tahun kedua.
Katanya, pengisian berkenaan merangkumi aktiviti akademik, kokurikulum dan hal-ehwal pelajar yang akan memacu kecemerlangan, jati diri, ketrampilan serta sahsiah mereka.
“Semua program pengisian itu dilaksana berdasarkan modul khusus yang dibangunkan Bahagian Matrikulasi dengan kerjasama tenaga pakar dari universiti.
“Pelajar kemudian akan dinilai melalui peperiksaan dan kerja kursus pada tahun pertama, dan mereka yang gagal melepasi purata nilai gred kumulatif (PNGK) 1.5 tidak boleh meneruskan pengajian ke tahun kedua.
“Begitupun, Bahagian Matrikulasi akan membuat pemantauan terhadap pelaksanaan projek rintis ini, termasuk membuat perbandingan dengan pengajian matrikulasi setahun, untuk penambahbaikan berterusan,” katanya.
Bagi kemasukan sesi akademik kali ini, Zainal Abidin berkata, Bahagian Matrikulasi menerima lebih 100,000 permohonan yang ditutup pada 24 Oktober lalu.
Katanya, sebanyak 22,000 hingga 24,000 tempat diperuntukkan bagi pengambilan pelajar pengajian setahun yang akan mendaftar serentak di seluruh negara pada 15 Mei ini.
Beliau berkata, calon program dua tahun yang akan ditempatkan di semua Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran, kecuali Kolej Mara Kulim dan Kolej Mara Kuala Nerang, akan melapor diri serentak pada 26 Jun ini.
Katanya, keputusan calon yang berjaya terpilih untuk tawaran pengajian matrikulasi setahun boleh disemak pada April, diikuti program dua tahun pada awal Jun ini.
B.Harian -11/02/06
08:10 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (1)