Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 May 2006

Pengantarabangsaan Matrikulasi Tumpuan RMK-9

Pengantarabangsaan, termasuk melahirkan lulusan Program Matrikulasi yang diterima universiti terkemuka dunia, menjadi antara fokus utama perancangan strategik Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Pengarah Bahagian itu, Prof Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad, berkata sasaran berkenaan selaras dengan pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) bagi jurusan sains program terbabit.
Justeru, katanya, usaha giat dilakukan kearah mendapat pengiktirafan Sijil Matrikulasi pada peringkat antarabangsa yang akan membolehkan lulusan program terbabit menerokai peluang pengajian lebih luas dan terbuka.
Dalam konteks sama, beliau berkata, pelaksanaan PPSMI juga akan membolehkan Program Matrikulasi kementerian membuka pintu kepada pengambilan calon antarabangsa pada masa depan, tanpa menjejaskan peluang kemasukan pelajar tempatan.
"Sebenarnya, PPSMI sudah dilaksanakan sepenuhnya dalam jurusan sains Program Matrikulasi sejak 2004 lagi. Pelaksanaan ini sentiasa dinilai, manakala mutu bahan pengajaran dan pembelajarannya juga dikawal dengan teliti.
"Tenaga pengajar pula diberi pendedahan latihan, kursus serta bengkel secara berterusan. Hasil usaha gigih semua pihak terbabit, terbukti pelajar semakin positif dan berkeyakinan.
"Malah perkembangan terkini menunjukkan lebih 70 peratus pelajar program ini menjawab soalan peperiksaan bagi kertas Fizik, Biologi, Kimia dan Matematik dalam bahasa Inggeris sepenuhnya," katanya kepada Berita Harian, semalam.
Sambil menjelaskan pelaksanaan semua perancangan strategik itu tertakluk kepada kelulusan Kementerian Pelajaran, Zainal Abidin berkata, satu lagi cadangan ialah mendapatkan pengiktirafan peringkat gaji tertentu bagi lulusan Program Matrikulasi kementerian yang rata-ratanya pelajar cemerlang.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut meletakkan matlamat Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran menjadi tanda aras bagi organisasi lain, samada tempatan atau luar negara, untuk melaksanakan program seumpamanya. Dari segi pemarkahan untuk peperiksaan pula, katanya, pelaksanaan e-Penilaian sedang dikaji bagi menampung keperluan pelajar yang semakin ramai.

Melalui kaedah ini, penilaian akan dilaksanakan secara elektronik atau online dan ketika ini kita sedang mengkaji bentuk soalan yang boleh digunakan.

“Selain pelajar, perancangan strategik juga memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan staf akademik, terutama menggalakkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana dan kedoktoran.

“Bagi membolehkan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran digerakkan secara lebih berkesan dan mantap, ada perancangan untuk menstruktur semula bahagian ini,” katanya.

Rujukan: BH - 28/02/06 - aziz

08:15 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)