Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

20 May 2006

Kolej Matrikulasi Terima Pelajar Antarabangsa

Kolej Matrikulasi terima pelajar antarabangsa


GEORGETOWN: Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran bercadang membuka Kolej Matrikulasi di seluruh negara kepada pelajar antarabangsa yang ingin mengikuti program prauniversiti.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata pihaknya sedia memberi peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mengikuti kursus jurusan sains dan perakaunan di kolej itu yang mempunyai kemudahan yang lengkap dan setanding dengan kolej antarabangsa lain.

Beliau berkata, program pengajian di kolej itu yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris mampu menjadi tarikan utama kepada pelajar antarabangsa yang ingin melayakkan diri mengikuti pelbagai kursus peringkat ijazah dalam bidang sains, teknologi dan sastera iktisas.

Katanya, usaha itu adalah sebahagian perancangan strategik kolej matrikulasi bagi melahirkan pelajar yang mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, sekali gus membantu usaha institut pengajian tinggi awam (IPTA) menarik penyertaan pelajar luar negara bagi mengikuti program ijazah di institusi mereka.

“Pada masa ini IPTA menghadapi masalah menarik pelajar antarabangsa walaupun kuota 10 peratus diperuntukkan kepada mereka.

“Ini kerana kebanyakan IPTA menggunakan bahasa pengantar Melayu. Kalau ada pun hanya dari Indonesia.

“Kami sedia membantu mereka,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan umum di Universiti Sains Malaysia di sini semalam.

Syarahan bertajuk ‘Penjenamaan Program Matrikulasi: Prestij Melalui Pembudayaan Ilmu dan Pengukuhan Proses Pengajaran dan Pembelajaran Sains’ adalah bersempena pelantikannya sebagai profesor di universiti itu.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abas dan isteri, Toh Puan Majimor Sharif.

Dr Zainal Abidin berkata, cadangan itu bagaimanapun perlu mendapat persetujuan Kementerian Pelajaran.

“Kita belum mengemukakan cadangan itu secara rasmi kepada kementerian, namun sudah menggariskan usul yang diperlukan bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Beliau yakin cadangan itu tidak akan menjejaskan visi program matrikulasi yang bertujuan membantu menyediakan pelajar Bumiputera supaya cemerlang dalam kursus kritikal.

“Kita belum memutuskan berapa ramai pelajar antarabangsa yang boleh diambil kerana ia masih dalam kajian, tambahan pula tempat agak terbatas walaupun dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), empat lagi kolej akan dibina bagi menampung kira-kira 20,000 pelajar setiap tahun.

“Namun apa saja ketetapan yang diambil, ia tidak akan mengganggu (kuota) pelajar tempatan termasuk 10 peratus bagi pelajar bukan Bumiputera,” katanya.

Program matrikulasi kementerian adalah program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta.


Rujukan: Berita Harian - 12/01/2005

08:00 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)