Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 July 2000

Kekurangan pensyarah matrikulasi tidak serius

KENYATAAN Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan menegaskan, kekurangan pensyarah di tiga kolej matrikulasi bukanlah satu masalah serius dan kritikal.

Sebaliknya kata Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Pendidikan, Ab. Kahar Harun, Bahagian Matrikulasi hanya mengalami kekurangan 176 pensyarah dan bukannya 250 seperti mana yang dilaporkan.

Kekurangan pensyarah itu berlaku di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan seramai 89 orang, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (48 pensyarah) dan Kolej Matrikulasi Melaka (39 pensyarah).

''Jumlah keseluruhan kekura-ngan di lima buah kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan berdasarkan keperluan nisbah pensyarah dan pelajar 1:15 ialah seramai 178 orang.

''Laporan sebuah akhbar pada 23 Jun lalu yang menyebut tiga kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan menghadapi kekurangan kira-kira 250 pensyarah, berban-ding 606 adalah tidak tepat,'' katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kahar menambah, kekurangan pensyarah adalah berdasarkan unjuran keperluan nisbah pensyarah pelajar yang dicadangkan untuk membolehkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dilaksanakan semaksimum mungkin.

Berdasarkan unjuran nisbah itu, pensyarah yang diperlukan di lima buah kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan pada bulan Julai ialah 681 orang.

Bagaimanapun katanya, sehingga pertengahan Jun lalu, semua kolej matrikulasi Kementerian Pendidikan telah pun mempunyai jumlah pensyarah seramai 551 orang, berbanding jumlah pensyarah yang diperlukan iaitu seramai 488 orang ketika itu.

Katanya lagi, sehingga pertengahan Jun 2000, enrolmen pelajar di empat buah kolej matrikulasi ialah seramai 7,328 orang dan ini akan meningkat kepada 10,221 orang apabila pelajar ambilan Julai 2000 mula mendaftar pada 3 Julai nanti.

Bagi memenuhi cadangan nisbah pensyarah-pelajar, jumlah pensyarah yang diperlukan ialah seramai 681 orang.

''Oleh itu, keperluan tambahan pensyarah di kelima-lima buah kolej matrikulasi ialah seramai 178 orang, termasuk Kolej Matrikulasi Perlis yang akan mengambil seramai 945 orang pelajar sulungnya pada bulan Julai nanti. Bagi mengatasi masalah itu, kementerian katanya, telah pun mengambil langkah-langkah tertentu.

''Antaranya ialah proses tawaran kepada calon yang layak sedang giat diadakan, termasuk melantik pensyarah sambilan dan kontrak di samping melantik para pensyarah daripada kalangan guru-guru yang berkelayakan dan berpengalaman,'' jelasnya.

Bagi meningkatkan mutu P&P, Kementerian Pendidikan juga menurut beliau meminta kerjasama daripada beberapa buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang berhampiran dengan kolej-kolej matrikulasi berkenaan, di samping membantu mengatasi masalah kekurangan pensyarah dalam bidang-bidang tertentu.

Contohnya menurut Ab. Kahar, pensyarah daripada Universiti Kebangsaan Malaysia diambil mengajar di Kolej Matrikulasi Melaka dan Negeri Sembilan, Universiti Sains Malaysia (USM) bagi Kolej Matrikulasi Pulau Pinang, Universiti Malaysia Sabah (UMS) untuk Kolej Matrikulasi Labuan dan Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk Kolej Matrikulasi Perlis.

''Berdasarkan perkembangan tersebut, ibu bapa dan pelajar yang mendaftar di kolej-kolej matrikulasi tidak seharusnya bimbang.

''Kekurangan tersebut hanya merupakan jangkaan keperluan berdasarkan unjuran nisbah pelajar dan akan dapat diatasi apabila pelajar ambilan Julai memulakan pengajian mereka tidak lama lagi,'' katanya.


Sumber: Utusan Malaysia 05/07/2000

02:15 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)