Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

02 January 2006

Sekat cubaan samseng rekrut pelajar – Hisham

Sekat cubaan samseng rekrut pelajar – Hisham

KUALA PILAH 5 Sept. – Kementerian Pelajaran akan menggunakan apa sahaja cara untuk menyekat cubaan kumpulan samseng merekrut pelajar sebagai ejen membawa masuk dadah ke kawasan sekolah.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya menyedari kumpulan samseng yang tidak bertanggungjawab itu akan terus berusaha sehingga cubaan mereka berjaya.

‘‘Kita tahu modus operandi mereka. Mereka akan sentiasa mencari golongan ini (pelajar) untuk membantu menyeludup dadah. Mereka mudah mendapatkan bekalan dan cuba menyerap dadah masuk ke sekolah dengan menggunakan pelajar,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau mengulas pengaruh samseng terhadap pelajar yang dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

Hishammuddin berkata, kumpulan samseng itu merupakan satu kumpulan yang terancang dan sanggup melakukan apa sahaja untuk meluaskan pengaruh mereka.

‘‘Sebab itulah kita perlu serius menanganinya. Kalau anak kita terjebak, segera pulihkan,’’ katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya tahu nama-nama kumpulan yang terbabit tetapi tidak berhasrat untuk menghebahkan kepada umum.

‘‘Tetapi percayalah saya dan polis melihatnya dengan serius. Kita tahu mereka sedang mengintai anak-anak kita untuk direkrut menjadi anggota mereka,’’ katanya.

Mengenai tahap pengaruh samseng di sekolah, beliau berkata, masalah itu tidak begitu serius di sekolah tetapi yang dibimbangkan ialah mereka yang tidak berada dalam sistem sekolah.

Katanya, kumpulan itulah yang cuba merekrut pelajar dan beliau memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mereka.

Justeru, kata Hishammuddin, beliau mengharapkan kerjasama media untuk menyampaikan maklumat terhadap Kempen Menangani Gejala Disiplin Murid yang dilancarkan semalam.

‘‘Kempen yang kita lancarkan di Jerantut memerlukan sokongan semua pihak. Kempen itu ialah untuk menimbulkan kesedaran dan memastikan kes buli dan ponteng juga menjadi tanggungjawab ibu bapa,’’ ujar beliau.


Sumber: Utusan Malaysia 6.9.2006

02:03 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)