01 January 2006
Peranan matrikulasi untuk perpaduan
Oleh KORI ARIFF
KERAJAAN secara sedar membuat keputusan pada tahun 2001 untuk membenarkan kemasukan bukan bumiputera ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan matrikulasi sebanyak 10 peratus walaupun tidak mendapat sokongan akar umbi.
Bagaimanapun kerajaan yang bertulangbelakangkan UMNO dan parti yang berteraskan orang Melayu itu menjelaskan rasional betapa perlunya dasar itu.
UMNO menjelaskan, ia adalah sebagai kesinambungan teras perpaduan rakyat negara ini dalam jangka panjang dan sedikit sebanyak melegakan bumiputera.
Sejak Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad sehingga ke Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, formula kejayaan negara ini telah dipersetujui iaitu perpaduan di kalangan rakyat pelbagai kaum.
Jika disemak setiap ucapan Perdana Menteri dan direnung dasar yang dikemukakan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB), formula perpaduan menjadi teras kepada kejayaan negara ini.
Jika ada suara akar umbi marah terhadap sesuatu dasar yang dikemukakan, maka penerangan bersungguh-sungguh diberikan.
Masihkah kita ingat ketika Dasar Pelajaran Kebangsaan hendak diwujudkan, pelbagai pihak sangsi dan menentang sehingga berlaku beberapa kali cubaan untuk menggagalkannya.
Masihkah kita ingat ketika Sekolah Wawasan dicetus dan dilaksanakan ketika zaman Dr. Mahathir, pelbagai pihak menentangnya terutama pemimpin Gerakan dengan pelbagai alasan dan helah.
Sekolah Wawasan berkonsepkan tiga sekolah rendah – Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) mahu digabungkan bagi melahirkan interaksi di antara kaum.
Bagaimanapun hanya Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang dengan berani bersetuju dan akhirnya hampir semua Sekolah Wawasan hanya gabungan di antara sekolah SJKT dan SK.
Kerajaan konsisten dengan pendirian untuk melaksanakan sistem integrasi antara kaum seperti usaha mewujudkan Sekolah Wawasan.
Kerajaan juga tidak mengamalkan sistem asimilasi seperti dilaksanakan di seluruh dunia, termasuk di Indonesia dan Thailand. Ini menghasilkan citra negara seperti sekarang.
Namun bagi kebanyakan pakar pendidikan, mereka cenderung untuk melaksanakan sistem asimilasi kerana sistem ini dapat menyatukan kaum secara lebih intim.
Malah, di Indonesia, nama-nama juga diasosiasikan dengan bahasa Indonesia bagi mencirikan bangsa Indonesia.
Jika rekayasaan baru hendak dilaksanakan di negara ini, setiap kaum mesti menyerahkan secara rela sedikit kebebasan dan kekayaan demi memastikan negara merdeka ini terus makmur dan berjaya.
Ini termasuklah usaha menyatukan kembali sekolah-sekolah supaya anak-anak mampu berada dalam satu bumbung, satu guru, satu bahasa pengantar yang berinteraksi dan bermain secara ikhlas sejak di sekolah rendah.
Keadaan sekarang masih berbeza: SJKC masih menggunakan bahasa pengantar bahasa Cina dan guru-guru kebanyakannya orang Cina dan begitulah kepada kaum lain.
Semua Menteri Pelajaran dan Perdana Menteri setakat ini belum berjaya mencairkan semua sekolah dalam satu sistem yang membolehkan setiap kaum ‘cair’ dalam acuan Malaysia.
Yang berlaku setakat ini, dan masih kita ingat, pemimpin kita menunaikan permintaan parti politik dalam pendidikan, menyebabkan pendidikan seakan-akan dipolitikkan.
Bagaimanapun ia tidak menyelesaikan masalah secara menyeluruh misalnya memberi 10 peratus kuota kepada bukan bumiputera dalam MRSM dan matrikulasi. Sebabnya sangat mudah, sebagaimana kata orang tua-tua: “Dapat paha, akan diminta yang lain pula.”
Tidak perlu kita terkejut apabila Ketua Biro Pendidikan Gerakan Pulau Pinang, Cheang Chee Gooi mendesak kerajaan supaya menghapuskan program matrikulasi.
Ini kerana parti politik selalu mahu masuk campur dalam pendidikan sehinggakan kadangkala pendidik profesional terpaksa akur.
Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. Koh Tsu Koon yang pernah menjadi pemimpin Dong Jiao Zhong turut mempertikaikan program matrikulasi.
Beliau dilaporkan pernah berkata mengenai matrikulasi dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM): “Parti Gerakan tidak menentang penggunaan sijil matrikulasi dan STPM, cuma mahukan kriteria kemasukan ke universiti dikaji balik.”
Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO, Ahmad Ikmal Ismail dalam ruangan Forum akhbar ini pada 15 Ogos lalu sudah menjelaskan betapa kenyataan Chee Gooi sengaja ingin membangkitkan rasa tidak puas hati kaum Cina, sedangkan program matrikulasi diiktiraf di seluruh dunia.
Program yang sudah dilaksanakan lebih 30 tahun itu hampir tiada bezanya dengan STPM kerana ia diurus secara profesional dan ditadbir oleh kementerian atau kerajaan.
Namun begitu, ada juga peperiksaan yang diiktiraf oleh sesetengah negara tetapi pengurusan peperiksaan dilaksanakan secara perseorangan seperti UEC (Unified Examination Certificate) - yang menggunakan bahasa Cina dan tidak dilaksanakan oleh satu badan yang dikawal selia kerajaan seperti Majlis Peperiksaan Malaysia.
Ini bermakna jika hanya satu peperiksaan sahaja perlu wujud di negara ini, elok semua peperiksaan lain juga diharamkan dan sekolah yang menawarkan sistem peperiksaan itu perlu juga dihapuskan.
Petikan: Utusan Malaysia
22.8.2006
15:15 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink