19 May 2006
18 Lulusan Matrikulasi Jadi Guru Siswazah
(Kementerian Pelajaran taja pelajar cemerlang ke luar negara)
Oleh Syuhada Choo Abdullah
KEMENTERIAN Pelajaran menawarkan biasiswa kepada lulusan cemerlang Program Matrikulasi untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terkemuka luar negara dan akan berkhidmat sebagai guru apabila tamat pengajian kelak.
Pengarah Bahagian Matrikulasi, Prof Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad, berkata sebagai permulaan, seramai 18 lulusan program di bawah kementerian itu terpilih menerima tajaan berkenaan pada tahun lalu.
Beliau berkata, mereka adalah lulusan jurusan Sains yang mengikuti pengkhususan pengajian dalam bidang Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik.
"Pelajar terbabit dihantar ke universiti terkenal seperti University of Surrey, University of Nottingham dan Universiti of Birmingham. Apabila tamat pengajian nanti, mereka akan berkhidmat dengan Kementerian Pelajaran sebagai guru siswazah.
"Selain penganugerahan biasiswa ini, lulusan Program Matrikulasi Kementerian Pelajaran turut menerima tawaran tajaan daripada pelbagai pihak seperti Mara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Perkembangan positif ini membuktikan pengiktirafan terhadap kualiti lulusan program berkenaan," katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini.
Seterusnya, Zainal Abidin berkata, tujuh Kolej Matrikulasi Kementerian Pelajaran sudah dikenal pasti menjadi pusat kecemerlangan dalam suatu bidang khusus berdasarkan kepakaran dan kemudahan di kolej masing-masing.
Beliau berkata, pelaksanaan itu adalah antara usaha digariskan dalam agenda penjenamaan, pembestarian dan pemartabatan Program Matrikulasi kementerian.
Dalam konteks ini, katanya, Kolej Matrikulasi Pahang dan Kolej Matrikulasi Pulau Pinang berperanan sebagai pusat kecemerlangan pembangunan perisian kursus serta portal akademik.
Manakala Kolej Matrikulasi Kedah dan Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan pula, beliau berkata, menjadi pusat kecemerlangan arkib dan dokumentasi.
"Ini diikuti Kolej Matrikulasi Melaka serta Kolej Matrikulasi Perlis sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan, di samping Kolej Matrikulasi Perak menjadi pusat kecemerlangan pembangunan sumber manusia.
"Baki dua kolej lagi, iaitu Kolej Matrikulasi Johor serta Kolej Matrikulasi Labuan, masih belum di tentukan bidang khusus mereka sebagai pusat kecemerlangan tetapi perkara itu akan diselesaikan dalam tahun ini juga," ka tanya.
Sementara itu, Zainal Abidin berkata, hampir semua Kolej Matrikulasi kementerian sudah memperolehi pengiktirafan kualiti MS ISO 9001:2000, kecuali Kolej Matrikulasi Labuan yang dijangka mendapatnya dalam sedikit masa lagi.
Sumber: Berita Harian 2 Mei 2007
05:25 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink