Ok

By continuing your visit to this site, you accept the use of cookies. These ensure the smooth running of our services. Learn more.

01 January 2004

25,000 pelajar ditawar ikuti matrikulasi tahun depan

Oleh: ROHANA MAN

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan akan menawarkan tempat kepada kira-kira 25,000 pelajar baru bagi mengikuti Program Matrikulasi sesi akademik 2004/2005.

Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad berkata, sesi akademik itu akan bermula pada bulan Mei depan dan semua pelajar itu akan mendaftar di sembilan buah Kolej Matrikulasi Kementerian Pendidikan di seluruh negara.

Menurutnya, pendaftaran pelajar baru Program Matrikulasi itu dilewatkan sebulan ekoran pelaksanaan Program Khidmat Negara (PKN).

Katanya, pelajar baru Program Matrikulasi untuk sesi itu akan mendaftar pada 10 Mei 2004.

``Sebelum ini, pendaftaran pelajar baru diadakan pada bulan April setiap tahun.

``Bagaimanapun, dengan pelaksanaan PKN, pendaftaran pelajar baru Program Matrikulasi dilewatkan kira-kira sebulan untuk membolehkan mereka mengikuti PKN,'' katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya, di sini, hari ini.

Bahagian Matrikulasi sehingga tarikh tutup permohonan pada 25 Oktober lalu telah menerima kira-kira 105,000 permohonan daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara, PKN akan diadakan dalam dua kumpulan iaitu kumpulan pertama mulai 16 Februari hingga 2 Mei manakala kumpulan kedua dan ketiga, mulai 22 Mac hingga 13 Jun 2004.

Kira-kira 85,000 peserta melibatkan pelajar lepasan SPM dan yang lahir pada tahun 1986 terpilih mengikuti PKN.

Mengulas adakah PKN akan menganggu takwim Program Matrikulasi, beliau berkata, ia tidak berlaku kerana pelajar yang dijangka berjaya memasuki Program Matrikulasi akan diberi keutamaan untuk mengikuti kumpulan pertama PKN.

Ini kerana jelasnya, kumpulan pertama PKN akan bermula pada bulan Februari dan berakhir pada 2 Mei iaitu lapan hari sebelum Program Matrikulasi sesi 2004/2005 bermula.

``Pelajar yang dilihat mempunyai potensi memasuki Program Matrikulasi akan disaring dan diletakkan dalam kumpulan pertama PKN.

``Pemilihan ini dibuat berdasarkan keputusan peperiksaan percubaan SPM masing-masing,'' katanya.

Pada satu perkembangan lain, beliau berkata, seramai 1,283 pelajar bukan bumiputera kini sedang mengikuti Program Matrikulasi di kolej-kolej matrikulasi kementerian di seluruh negara.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 160 pelajar bukan bumiputera ditempatkan di Kolej Matrikulasi Melaka; 181 di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang; 177 di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan; 65 di Kolej Matrikulasi Perlis; 156 di Kolej Matrikulasi Labuan; 154 di Kolej Matrikulasi Johor; 183 di Kolej Matrikulasi Perak; 107 di Kolej Matrikulasi Kedah dan 100 di Kolej Matrikulasi Pahang.

Program Matrikulasi mula menerima pelajar bukan bumiputera pada tahun ini, apabila Kabinet pada bulan Mei 2002 memutuskan untuk memberi kuota 10 peratus kepada pelajar bukan bumiputera memasuki program itu.

Kumpulan pertama pelajar bukan bumiputera mendaftar di kolej-kolej matrikulasi kementerian bagi sesi akademik 2003/2004 yang bermula pada bulan April lalu.

Mereka akan menamatkan pengajian selepas menduduki peperiksaan akhir semester kedua yang dijangka diadakan pada bulan Februari depan.



Sumber: Utusan Malaysia 18.12.2003

02:08 Posted in KERATAN AKBAR | Permalink | Comments (0)